Suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, selepas ibu angkatnya itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),  di sini kira-kira pukul 9.40 pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa tinggal bersama suspek dan isterinya itu dipercayai didera sejak Mei lalu. 

Bagaimanapun, isteri suspek katanya takut untuk memberitahu keluarga kerana suaminya itu didakwa sering mengugut untuk membunuhnya. 

“Akibat sering dipukul suspek, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital oleh isteri suspek dengan bantuan pihak ambulan pada 28 Oktober lalu. 

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pagi semalam selepas hampir seminggu mendapatkan rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambah Shamsul Amar, berdasarkan laporan hospital, mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan akibat dipukul dengan objek tumpul. 

Katanya, suspek ketika ini ditahan reman seminggu sehingga 10 November ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

“Kita difahamkan mangsa didera kerana suspek mengesyaki warga emas itu mendesak isterinya supaya bercerai dengannya,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE