Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsamaju, Deputi Superintenden Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi ketika mangsa dan beberapa jemaah yang lain sedang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.

“Satu rakaman video litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memakai jaket bertutup kepala telah masuk melalui pintu tepi ruangan solat muslimah dan melarikan beg tangan milik wanita tersebut.

“Wanita berusia 65 tahun terbabit mengalami kerugian kira-kira RM2,000 akibat kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Najib dalam kenyataannya turut meminta orang ramai membantu mengesan dan mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Hafiz di talian 016-8741898 atau Asisten Superintenden M. Hussin di talian 017-2446363/03-92899222.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan elakkan membawa barang berharga ketika menunaikan solat di masjid atau surau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE