Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, lelaki berusia 34 tahun yang memakai topi keledar itu telah masuk ke premis berkenaan sambil mengacukan parang kepada pemilik kedai yang berada di kaunter.

Bagaimanapun, lelaki terbabit yang cuba melarikan diri setelah gagal menyamun telah ditahan oleh orang awam yang berada berhampiran premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, pihaknya ke lokasi kejadian setelah menerima maklumat awam dan memberkas lelaki terbabit.

Katanya, lelaki yang mengalami kecederaan dan bengkak pada kedua-dua bahagian tangan dan dahi serta mendakwa sakit seluruh badan itu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Pemilik kedai itu menyerahkan beberapa barang kes dipercayai digunakan suspek termasuk sebilah parang. Kita turut merampas sebuah beg bimbit dan motosikal jenis Suzuki TXR 150 berwarna hijau dipercayai milik lelaki itu.

"Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bercham dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya. - UTUSAN ONLINE