Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, suspek berusia 21 tahun dicekup orang awam selepas motosikalnya terbabas ketika cuba melarikan diri apabila tidak berjaya meragut rantai mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa hendak melintas jalan sebelum didatangi suspek bermotosikal dari arah belakang yang cuba meragut rantai emas di leher mangsa.



“Mangsa dikatakan sempat memegang rantai emas miliknya menyebabkan lelaki bermotosikal itu terus melarikan diri. Bagaimanapun, motosikalnya gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan dan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Menurut Mohd. Sukri, lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.



Beliau memberitahu, siasatan lanjut mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE