POLIS sedang mengesan Junaidi Yacab (kiri) yang didakwa mencederakan isterinya dengan sebilah sabit dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Temalir, Kuala Krai, Kelantan, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, suspek, Junaidi Yacab, 36, dipercayai me­lakukan perbuatan itu ketika berselisih faham dengan iste­rinya, Arnida Ab. Rahman, 35.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Abdullah Roning berkata, suspek mengamuk dan membaling sabit rumput ke arah wanita tersebut dan terkena bahagian kening kiri mangsa.

Menurutnya, akibat keja­dian itu, mangsa mengalami ke­cederaan teruk dan mene­rima tujuh jahitan di Hospital Kuala Krai.

“Mangsa yang bekerja sebagai penoreh getah juga mendakwa sering dipukul suaminya serta diugut bunuh apabila dia meminta cerai daripada suspek kira-kira dua bulan lepas. Bagaimanapun, mangsa tidak pernah membuat laporan polis.

“Namun, selepas terkena sabit rumput, mangsa tidak tahan lagi dengan perangai suaminya dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai selain bercadang merujuk kes terbabit ke mahkamah syariah,” katanya di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, sehingga kini pihak polis sedang mengesan suspek yang dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian tersebut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan.