Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan panik selepas melihat sekatan jalan raya dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di plaza tol berkenaan kira-kira pukul 10.15 malam.

Dia kemudian bertindak memecut motosikal antik jenis Honda Cup melepasi lorong tol untuk kereta tetapi terbabas lalu terjatuh ke atas jalan raya.

Lelaki itu kemudian ditahan oleh anggota penguat kuasa yang bertugas. 

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Zamakhshari Hanipah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu telah melakukan tiga kesalahan jalan raya iaitu mengubah suai motosikal tanpa kebenaran, cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh dan lesen memandu untuk kelas kenderaan yang berlainan.

"Dia dipercayai bertindak demikian selepas panik apabila melihat sekatan jalan raya di sini.

"Dia juga tidak menggunakan laluan motosikal di bahagian belakang bangunan plaza tol di sini kerana mendapati ada sekatan juga di situ," katanya.

Menurutnya, operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama jabatan Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Sementara itu, Utusan Online difahamkan, pemuda itu yang juga seorang blogger sedang dalam perjalanan dari Melaka ke Shah Alam, Selangor tetapi singgah di sini untuk membeli rokok.

Dia juga dipercayai membawa tiga botol besar yang dipercayai mengandungi air ketum. - UTUSAN ONLINE