Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan suspek yang berusia 34 tahun dan merupakan penagih dadah cedera di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan meminta sejumlah wang daripada seorang wanita yang berusia lingkungan 40-an di perumahan Flat Bijangga.

"Suspek memang dikenali oleh penduduk di situ dan ketika kejadian mereka menyangkakan suspek cuba meragut wanita tersebut.

"Menyedari dirinya dikejar oleh penduduk, suspek bertindak meninggalkan motosikalnya dan melompat pagar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Baharudin, suspek kemudian melarikan diri ke arah Kampung Sungai Buaya sebelum cuba terjun ke dalam sungai berhampiran namun tindakan pantas penduduk berjaya menangkap lelaki berkenaan.

Katanya, suspek menafikan mahu meragut sebaliknya hanya meminta wang namun, alasan itu tidak dipercayai penduduk dan setelah dibelasah dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah dan pemeriksaan air kencing mendapati positif dadah jenis morfin.

"Suspek juga pernah dihukum atas kesalahan pecah rumah, menyimpan dan melupuskan harta curi serta kesalahan yang berkaitan dengan dadah.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan terburu-buru menghukum pelaku jenayah bagi mengelakkan sebarang perkara lain berlaku," katanya. - UTUSAN ONLINE