Suspek berumur 39 tahun yang merupakan seorang penganggur ditahan di sebuah rumah di Kampung Gajah di sini pada pukul 8.30 malam, 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi suspek ialah dengan menghampiri mangsa menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda sebelum meraba payudara mangsa.

"Lima wanita telah dicabul suspek namun kita percaya ada yang tidak membuat laporan polis kerana malu dan trauma.

"Modus operandi suspek adalah dengan menghampiri mangsa menggunakan motosikal dan meraba payudara mangsa sebelum memecut laju motosikalnya meninggalkan mangsa selepas melakukan perbuatan keji itu," katanya.

Menurut beliau, antara lokasi yang menjadi tumpuan suspek ialah Jalan Kelisa 1, Jalan Ulu Dedap, Jalan Bawah Bukit Lada, Jalan Felcra Cangkat Lada-Ulu Dedap dan Jalan Kampung Tersusun Changkat Lada.

Katanya, pihaknya percaya ada mangsa yang tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kerana mangsa malu selain mengalami trauma.

"Kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh dan Mahkamah Majistret Parit esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul," katanya. - UTUSAN ONLINE