Terbaharu, dia membuat laporan polis hari ini kononnya telah menolak isterinya jatuh dari Jambatan Pulau Pinang selepas mereka didakwa bergaduh kerana isterinya berlaku curang terhadapnya serta enggan ke mahkamah syariah.

Polis Seberang Perai Tengah (SPT) menahan lelaki berusia 64 tahun itu selepas dia membuat laporan polis di Balai Polis Perai kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mendakwa terdapat wanita jatuh ke laut pada pukul 9.53 pagi.

Sehubungan itu, jelasnya, pihak polis mendapatkan bantuan daripada Pasukan Gerakan Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menjalankan operasi mencari.
“Pada pukul 11 pagi, lelaki itu datang ke Balai Polis Perai memaklumkan yang dia telah menolak isterinya jatuh ke laut selepas mereka didakwa bergaduh.

“Hasil siasatan yang dibuat, lelaki ini pernah membuat 91 laporan polis di Balai Polis Kubang Semang mengenai kematian bekas isterinya itu selain beberapa kali mendakwa telah membunuh wanita itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.