MOHD. HARIS
MOHD. HARIS

Dalam kejadian dua hari berturut-turut itu, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Tuaran mendakwa dirogol suspek yang merupakan kenalan ibunya.

Ketua Polis daerah, Deputi Superitenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati sebelum insiden berkenaan mangsa yang tinggal bersama neneknya di Tamparuli keluar rumah pada 12 Mei lalu untuk mencari ibunya di Inanam.

Menurutnya, difahamkan, ibu dan bapa mangsa telah tinggal berasingan sejak 10 tahun lalu tanpa sebarang penceraian.

"Setibanya di Terminal Bas Tamparuli mangsa telah berjumpa dan tumpang bermalam di rumah kawannya selama tiga hari dan pada 15 Mei, kira-kira pukul 11 malam mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan meminta lelaki itu mengambilnya di Perpustakaan Tamparuli pada esok hari.

"Selepas menjemput mangsa di perpustakaan pada pukul 1 pagi, suspek dikatakan membawa gadis berkenaan di sebuah hotel di Kota Kinabalu sebelum merayu untuk melakukan hubungan intim," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Mohd. Haris, suspek sekali lagi melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah bilik sewa di kawasan rumah kedai dekat sini pada pukul 12.01 pagi, 17 Mei lalu sebelum meninggalkan gadis terbabit di belakang pasar raya.

"Bapa saudara mangsa yang berjaya menemuinya di belakang pasar raya selepas hilang selama lima hari bertindak membuat laporan polis sebaik sahaja gadis itu menceritakan mengenai kejadian yang berlaku.

"Susulan itu, laporan ini dibuat dan pihak polis segera bertindak dan suspek berjaya ditahan semalam untuk siasatan lanjut," jelasnya.

Mohd. Haris berkata, berdasarkan siasatan, mangsa mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook pada tahun lalu yang merupakan kenalan kepada ibunya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya. - UTUSAN ONLINE