Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak Hospital Kuala Lumpur hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap lelaki warga Filipina itu.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati lelaki tersebut berhalusinasi selepas dikatakan makan pil khayal yang diberikan oleh seorang pelanggannya sebelum kejadian.

“Lelaki tersebut kita tahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dia dikatakan tinggal di negara ini sejak dua tahun lalu dengan dokumen perjalanan tamat tempoh dan dia juga dipercayai telah bekerja sebagai pelayan pelanggan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, tular di laman sosial dua video berdurasi 16 dan 44 saat dimuat naik merakamkan aksi lelaki itu dilihat berjalan dan berlari di pembahagi jalan di lokasi terbabit.

Malah, dia turut dilihat menari sambil memegang kemaluan dan cuba melintas jalan di lokasi berkenaan selain memanjat sebuah kereta di lokasi berkenaan.-UTUSAN ONLINE