Mangsa, Ting Ching King, 60, yang juga pemandu kenderaan persendirian ditemukan terbakar 100 peratus oleh orang awam bersama-sama kereta jenis Proton Saga yang hangus keseluruhannya kira-kira pukul 4.20 petang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai berbuat demikian tiga hari lalu selepas ibunya memberitahu mangsa ada menghubunginya kira-kira pukul 3 petang Jumaat yang menyatakan dia tidak mahu lagi mengambil apa-apa harta milik keluarga.

Menurut Abdul Wahib, mangsa ditemukan terbaring di kerusi pemandu manakala anggota badan mangsa hanya tinggal tengkorak serta sebahagian daripada tulang yang terbakar telah menjadi abu.

“Siasatan awal mendapati kereta dalam keadaan berkunci dan brek ta­ngan juga terangkat serta kawasan sekeliling turut terbakar.

“Mangsa dipercayai merajuk dengan ibunya kerana kebun kelapa sawit tersebut tidak dipindah milik kepadanya dan kerana kecewa, mangsa telah membakar diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Abdul Wahib, kes terbabit diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Ching King yang menyewa bilik di sebuah rumah di Yong Peng di sini me­rupakan seorang duda dan anak tunggalnya tinggal bersama-sama bekas isteri yang dipercayai berada di Sabah.