Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, antara yang dirampas termasuk 70 keping foil merah dan perak berisi 700 biji pil disyaki Eramin 5 seberat 187 gram dan 80 biji pil Ecstasy seberat 27 gram.

Beliau berkata, turut dirampas satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis Ketamin (26 gram) dan satu paket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 0.5 gram.

Katanya, suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini untuk tindakan lanjut.

“Ujian air kencing yang dijalankan pula mendapati suspek positif dadah jenis AMP dan dia kini direman selama tujuh hari bermula semalam (9 Jun) hingga 15 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Noorzainy memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya selain turut disiasat di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik secara berterusan secara agresif terhadap pengedar-pengedar dadah yang berada dalam daerah ini.

“Sehubungan itu, kerjasama daripada masyarakat diperlukan untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah serta jenayah yang melibatkan pengedar dan penagih dalam daerah ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE