Difahamkan, mereka terdiri da­ripada ahli-ahli perniagaan terkemuka yang terlibat dalam pelbagai bidang dan industri termasuklah pembangunan hartanah, perbankan dan automobil.

Sumber memberitahu, langkah tegas itu susulan kejayaan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) membongkar kegiatan dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang mengelak cukai berjumlah berpuluh-puluh juta ringgit dalam dua serbuan di utara dan selatan tanah air.

“Kesepakatan yang dicapai antara Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Nege­ri (LHDN) hari ini merupakan isyarat bahawa ahli-ahli perniagaan berkenaan akan diburu habis-habisan,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu mem­be­ritahu, perbuatan mengelak cukai perlu dihentikan segera kerana ia amat meru­gikan negara.

“Ahli-ahli perniagaan seumpama itu akan diburu habis-habisan bagi memastikan kerajaan tidak terus mengalami kerugian daripada hasil cukai kerana perbuatan mereka ibarat menggigit tangan orang yang menyuapkan nasi.

“Sebenarnya perbuatan ini sudah lama berlaku, tetapi dahulu tindakan tidak dapat dilakukan kerana ‘ada halangan’ tertentu, sekarang LHDN memberi kerjasama penuh dan ia akan diperkukuhkan lagi dengan bantuan SPRM dan BNM,” kata sumber tersebut.

Sumber itu berkata, tindakan tegas yang akan dilakukan itu juga sebagai amaran dan peringatan kepada ahli-ahli perniagaan supaya menunaikan tanggungjawab sebagai warga negara Malaysia dengan membayar cukai.

“Perbuatan mereka yang hanya bijak mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit termasuk melalui projek kerajaan tetapi tidak mahu membayar cukai harus dihentikan. Ia memandang­kan hasil cukai yang di­peroleh kerajaan akan digunakan untuk mensejahterakan rakyat sekali gus memastikan mereka dapat berkongsi menikmati kemudahan dan pembangunan yang secara tidak langsung, dapat memakmurkan ekonomi negara,” kata sumber itu.

Sehubungan itu sumber tersebut menegaskan, sudah sampai masanya Kementerian Kewangan berkongsi maklumat penerima kontrak kerajaan kepada NRRET untuk diperhalusi supaya tahap kemampuan dan pematuhan di dalam melunaskan cukai dan juga tanggungjawab korporat kepada negara serta rakyat dipatuhi.