Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kemudahan itu perlu kerana pembangunan sedang rancak dan pesat berlaku dalam banyak kawasan negeri ini. 


Jelas beliau, bantuan teknologi sememangnya amat diperlukan dalam usaha penguatkuasaan undang-undang bagi membantu pemantauan dengan lebih efisyen.


“Ini memandangkan aktiviti rondaan oleh anggota polis tidak boleh merangkumi keseluruhan kawasan yang ada.


“Pemasangan CCTV ini akan membantu pihak polis dalam usaha meningkatkan keselamatan masyarakat dan kawalan kawasan-kawasan tertentu.


“Bila ada perkembangan kawasan ruang lingkup di Johor semakin luas, sumber manusia untuk ronda tak dapat dijalankan dengan 100 peratus, jadi dalam situasi apa pun kita memerlukan bantuan teknologi,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Apresiasi Keselamatan Untuk Kesejahteraan Awam di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Mohd. Shaman Jaes. - UTUSAN ONLINE