Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah yang memberitahu, lebih ba­nyak syarikat akan dikenal pasti selepas LHDN melengkapkan siasatan dan audit.

Buat masa ini, Sabin menjelaskan, 10 syarikat gergasi negara yang terlibat dengan akti­viti tidak bertanggungjawab itu sebagaimana didedahkan oleh Mingguan Malaysia Ahad lalu telah pun tampil membayar penalti berjumlah RM800 juta.

Selain itu, 20 syarikat yang telah dikenal pasti oleh LHDN kerana melakukan pengelakan cukai itu telah pun diberikan notis untuk menyelesaikannya dalam tempoh sebulan.

“Untuk 20 syarikat itu, kami berikan masa sehingga hujung bulan ini, membabitkan jumlah penalti RM1.4 bilion.

“Jadi buat masa ini, 30 syarikat telah pun diberi notis dengan 10 daripadanya sudah membayar penalti, manakala 20 lagi diberi tempoh sehingga hujung bulan, membabitkan jumlah RM2.2 bilion secara keseluruhannya. Kami mempunyai banyak lagi kes, berkemungkinan lebih daripada 50 syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Operasi Gegar Bersepadu (G127B) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling, Hajam Lajah Alam dan Pengarah LHDN Kuala Lumpur, Rozina Shaik Osman Merican.

Ahad lalu, Sabin mengesahkan laporan eksklusif Mingguan Malaysia mengenai penglibatan 10 syarikat gergasi yang melakukan pengelakan cukai melampau dengan dua daripada syarikat berkenaan milik dua tokoh bergelar Tan Sri.

Ketika itu, Sabin juga menjelaskan LHDN sedang memburu sekurang-kurangnya 50 syarikat korporat terkemuka negara dalam sektor telekomunikasi, hartanah dan perladangan yang dikesan melakukan kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

Dalam pada itu, Sabin memberitahu, sasaran kutipan cukai RM127 bilion ditetapkan kerajaan tahun ini meliputi juga penalti yang dikenakan terhadap 30 syarikat terbabit.