Dalam serbuan kira-kira pada pukul 3.30 petang itu, penguatkuasa JAIM turut menemui lebih 30 bungkus plastik mengandungi tisu dan kondom terpakai yang dibuang dalam tong sampah di hotel berkenaan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, serbuan itu dijalankan hasil aduan orang ramai dan pelancong yang mendakwa terpedaya kerana me­nyangka premis tersebut adalah hotel bajet tetapi sebaliknya menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Hasil serbuan itu, kita berjaya menahan lima wanita dan seorang mak nyah berumur antara 19 hingga 36 tahun di dalam bilik hotel bajet itu dan mereka ini dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran.

“Semasa diserbu, pegawai penguatkuasa turut menemui kondom serta tisu terpakai dan yakin mereka baharu selesai melayan pelanggan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jelas Rahimin, pemeriksaan terhadap lima wanita itu mendapati dua daripada mereka yang ber­umur 19 dan 21 tahun beragama Islam dan kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk ujian saringan HIV oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Rahimin berkata, premis yang beroperasi tanpa lesen itu didapati mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Pelacur yang tinggal di situ dikatakan membayar sewa RM50 sehari manakala pelanggan dikenakan bayaran antara RM30 hingga RM50 bagi setiap perkhidmatan bermula dari pukul 9 pagi hingga 7 malam,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 75 Enakmen Kesalahan Syariah (Me­laka) 1991 kerana melacurkan diri yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain JAIM, serbuan selama dua jam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.