1,001 cara cuba dieksploitasi sindiket terbabit iaitu dengan menggunakan laluan darat, udara termasuk lautan demi memastikan dadah yang diseludup tiba kepada pengedar. Malah kini ada sindiket dikesan menggunakan lautan sebagai lokasi transit bagi tujuan pengedaran sebelum diagihkan kepada pembeli di Pulau Langkawi.
Ikuti laporan wartawan Mingguan Malaysia, AMIRUL AFIQ MASTOR dan SYAHIDI BAKAR berhubung modus operandi sindiket dari negara jiran yang beroperasi menyeludup dadah untuk dibekalkan ke pusat-pusat hiburan dan pelancong di pulau peranginan terkenal itu.

 

 

Lebih licik, dadah seperti pil kuda, ekstasi, erimin 5 selain ganja itu dibungkus rapi dicampak di tengah laut oleh ahli sindiket dari Thailand sebelum mereka beredar pulang dan kemudian dikutip oleh tekong bot tempatan yang berperanan sebagai runner tersebut.

 

Difahamkan, bekalan dadah yang diseludup dari Thailand itu dipercayai untuk memenuhi permintaan di pusat-pusat hiburan, pelancong dari dalam dan luar negara selain penganjur parti persendirian di pulau peranginan tersebut.

Menurut sumber, bot dari Thailand itu akan memberi koordinat kepada tekong bot berkenaan selepas mereka mencampak­kan bekalan dadah dipesan.

“Tekong bot dari Malaysia akan mengikut koordinat diberikan untuk mengambil bungkusan tersebut sama ada bersama pelancong atau bersendirian.

“Ada juga di antara tekong yang akan dihubungi lebih awal dan kemudian menunggu bot yang membawa dadah untuk membuang ke laut sebelum dia bergerak mengutipnya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Jelas sumber, kaedah tersebut mula digunakan setelah pemantauan dan pengawasan yang ke­rap dan tegas dilakukan di pintu masuk utama iaitu di Jeti Kuah.

“Dahulu mereka seludup guna pintu utama, namun disebabkan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa dan sering tertangkap, mereka ubah dan menggunakan cara ini.

“Tambahan, penggunaan tek­nologi seperti koordinat sistem kedudukan global (GPS) memudahkan pengedar untuk menanda lokasi barangan tersebut diletakkan,” ujarnya.

Mengulas berhubung upah tekong berkenaan, sumber membe­ritahu, bagi setiap pengambilan, bayaran diberikan kepada tekong bot berkenaan adalah sebanyak RM500 malah ada yang meminta wanita untuk seks sebagai habuan mengikut persetujuan antara sindiket dan runner terbabit.

“Kadang kala ada tekong yang tidak mahu mengambil wang sebaliknya meminta sindiket dari Thailand membawa gadis untuk memberikan khidmat seks sebagai upah.

“Biasanya upah sebegini dilakukan ketika mereka tidak melakukan kegiatan membawa dadah. Sindiket akan bawa gadis dan memberikannya kepada tekong. Gadis tersebut akan mela­yan nafsu tekong di dalam bot sebelum dibawa pulang oleh sindiket dari Thailand itu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa, pada tahun lalu, penduduk pernah menemukan sejumlah guni berisi bungkusan ganja mampat terdampar di tepi pantai.