SEORANG lelaki berusia 30-an dikenakan perintah tahanan reman empat hari bagi kes lari daripada pihak JPJ di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, semalam. UTUSAN/ABD. RAZAK AID

Pemandu lori berusia 32 tahun itu yang memandu sebuah ken­deraan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dipercayai kenderaan klon menjadi punca sebuah kenderaan peronda JPJ dan empat kereta terlibat dalam kemalangan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, pihaknya mendapat perintah tahanan reman itu di Mahkamah Khas (Reman) di Se­remban bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut dalam kes terbabit.

“Polis mendapat perintah tahanan reman ke atas lelaki terbabit sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zaldino memaklumkan, selain Honda Stream dan pacuan empat roda milik JPJ, kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 7 malam itu ialah kereta jenis BMW, Perodua Axia, Proton Exora dan Mercedes-Benz.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, suspek diekori oleh peronda JPJ sejauh kira-kira 10 kilometer dari Jalan Semarak dekat sini sebelum berakhir di Jalan Permata 2, Nilai 3.

“Suspek cuba melarikan diri dan melanggar kereta Mercedes-Benz di Jalan Perak. Suspek kemudian melanggar dua lampu isyarat sebelum bergesel dengan Proton Exora di Jalan Mutiara.

“Lelaki itu kemudian membelok ke kiri di simpang tiga Jalan Permata 2 sebelum hilang kawalan lalu bergesel dengan kereta BMW dan menyebabkan BMW itu terlanggar pula Perodua Axia. Kenderaan JPJ yang tidak sempat mengelak telah melanggar bahagian hadapan BMW tersebut,” katanya.

Jelas beliau, semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan adalah sah namun siasatan lanjut masih diteruskan.

Katanya, suspek mendakwa dia cuba melarikan diri kerana cukai jalan dan lesen memandunya telah tamat tempoh selain mendakwa MPV itu dipinjam daripada rakan wanitanya.

Zaldino berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memiliki beberapa kes lampau berkaitan dadah.