Laporan tersebut dibuat Azrul Suhadi di Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini.

Menurut Azrul Suhadi, empat keping cek yang diterimanya da­ripada Penyelaras Gerakan Deklarasi Rakyat itu adalah sebagai bayaran balik pinjaman sebanyak RM90,000 yang diperoleh Khai­ruddin pada 22 Jun tahun lalu.

Katanya, Khairuddin memin­ta pinjaman daripadanya untuk menyelesaikan denda seba­nyak RM250,000 atas kesalahan menghina mahkamah dan beliau mendakwa mahkamah membenarkannya membayar separuh daripada denda tersebut.

“Atas dasar persahabatan dan hubungan yang akrab saya telah berusaha mendapatkan wang se­banyak RM90,000 dan menye­rahkan pada beliau di hadapan sebuah bank di Selayang.

“Pasa masa yang sama, beliau turut menyerahkan sekeping cek atas nama sebuah syarikat bertarikh 30 Jun 2017 dan menyakinkan saya boleh mendeposit cek itu pada tarikh yang sama namun saya dimaklumkan oleh pihak bank bahawa cek berkenaan telah ditutup,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini hari ini.

Menurut beliau, Khairuddin kemudiannya memberikannya tiga keping cek masing-masing pada 10 dan 18 Julai selain 27 Disember dimana cek tersebut bermasalah iaitu tidak didepositkan ke dalam akaun bank, cek tendang dan diarahkan untuk diberhentikan pembayarannya.

“Beliau berjanji untuk membayar pinjaman ini dalam tempoh 10 hari namun sehingga kini tiada sebarang pembayaran dibuat. Saya pernah meminta dia membayar secara beransur-ansur namun tiada tindak balas.

“Jika dia tiada duit, bagaimana dia boleh menjadi calon dan bertanding pada pilihan raya?. Maknanya dia memang ada duit,” katanya. - UTUSAN ONLINE