Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaan Raya (DPP) untuk tindakan seterusnya selepas kertas siasatan disiapkan.

Ketika ini, kata beliau, polis dalam proses mengambil keterangan wanita itu dan orang yang bersubahat iaitu anaknya bagi melengkapkan siasatan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mereka yang membuat laporan palsu seperti ini.

“Setelah mendapat bukti yang cukup dan merujuk kepada pihak pendakwaan, kita akan bertindak dan mendakwanya di mahkamah,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di di sini hari ini.

Menurut Rosli, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menerima laporan seorang wanita berhubung anaknya terjatuh ke dalam sungai di Felda Jengka 15 ketika mereka memancing namun mendapati ia adalah palsu.

Berdasarkan siasatan awal polis, laporan itu dibuat berikutan anak wanita itu yang tinggal bersama ibunya sejak dua bulan lalu berada dalam keadaan tertekan apabila terpaksa berpisah dengan empat anaknya.

Ketika kejadian, dia memang berniat untuk terjun ke dalam sungai itu tetapi dinasihati ibunya dan merancang seolah-olah ia kes lemas dengan harapan mangsa dapat berjumpa dengan anak-anaknya semula. - UTUSAN ONLINE