Pengarah JKDM negeri, Datuk Mohd. Nasir Yusoff berkata, ope­rasi yang bermula dari 14 Mei hingga 10 Jun 2018 itu khusus untuk menangani penyeludupan mercun dan bunga api sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, bagi kesemua kes mercun dan bunga api dalam tempoh tersebut, sebanyak RM33,000 nilai kompaun telah dikeluarkan.

“Dalam masa sama, terdapat satu kes melibatkan sebuah lori dirampas dan seorang orang awam turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah nilai barangan terlibat atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang akh­bar khas di sini semalam.

Yang turut hadir, Penolong Kanan Pengarah Kastam negeri, Ahmad Mazuki Yasin.

Sementara itu Mohd. Nasir memberitahu, JKDM akan me­ngadakan rondaan berkala di sekitar bandar Kota Bharu dalam masa terdekat sepanjang minggu akhir Ramadan ini.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa yang didapati menjual, mengedar, memiliki dan menyalakan bunga api dan mercun semasa rondaan diadakan.

“Kita akan terus bertindak sebagai lead agency dalam penguatkuasaan memeriksa kedai-kedai dan kenderaan pengangkutan ser­ta serbuan berdasarkan maklumat risikan dan aduan daripada orang awam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nasir turut menasihatkan masyarakat supaya tidak bermain mercun dan bunga api bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.