Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 26 tahun dikatakan terlambat membancuh air kepada suaminya yang berusia 43 tahun kerana sedang sibuk menguruskan kerja rumah lain.

Akibat dipukul dengan seterika itu, mangsa mengalami kecederaan luka dan calar kira-kira tiga sentimeter di bahagian kepala dan mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, siasatan awal mendapati pasangan itu yang mempunyai dua anak masing-masing berusia tiga dan lima tahun sering bergaduh kerana masalah tekanan hidup.

Katanya, suspek juga didakwa sering memukul isterinya sebelum ini dan pasangan itu sudah berkahwin sejak lima tahun lalu.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek pula didapati positif dadah “MOP” dan dia juga mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu yang dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE