Pasukan yang terdiri daripada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai penyiasat dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 12 tengah hari.

Selain itu, anggota bomba yang bersama mangsa, Muhammad Adib Mohd. Kassim semasa pasukan mereka diserang sekumpulan perusuh turut berada di lokasi bagi membantu polis menjalankan siasatan dan lakonan semula kejadian tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak­nya perlu menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan polis mengetahui situasi sebenar ketika Muhammad Adib dan anggota lain yang menaiki sebuah jentera FRT serta jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) diserang pada hari kejadian.

“Hari ini, Unit Forensik Polis menjalankan siasatan serta lakonan semula di lokasi ber­kenaan untuk mendapat butiran dan maklumat lanjut mengenai siasatan kes serangan ke atas Muhammad Adib bersama pasukannya

“Buat masa ini saya tidak dapat memberikan butiran lanjut bagi membolehkan siasatan sepenuhnya dijalankan,” kata­nya yang turut menjelaskan pihak polis terpaksa menutup satu lorong di lokasi kejadian buat sementara waktu bagi melakukan siasatan sebelum dibuka semula.

Mengulas mengenai situasi di kuil tersebut hari ini, Maz­lan memberitahu, keadaan di sekitar kawasan itu dilaporkan terkawal dan sebanyak 500 pegawai serta anggota polis masih ditempatkan di situ serta lokasi berhampiran.

“Keadaan di kuil boleh dikatakan telah kembali tenang seperti suasana sebelum kejadian pencerobohan dahulu dan orang ramai menjalankan akti­viti harian mereka seperti biasa.
ujarnya.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 48 individu ditahan berbanding 42 orang sebelum­nya.