Ketiga-tiga laporan polis itu dibuat oleh individu mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Polis Banda Hilir di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.

Pengerusi Angkatan Busana Tanah Air, Iskandar Senin, 43, berkata, tindakan itu dibuat susulan rasa tidak puas hati terhadap pemilik laman sosial Facebook bernama Desmond Yongkor yang tidak menghormati institusi beraja di negara ini. 

Menurutnya, perbuatan melampau dilakukan pengguna laman sosial itu tidak boleh diterima malah ia boleh menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

"Sehubungan itu, kami menyeru supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang amat biadap menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial agar menjadi pengajaran kepada pihak lain yang tidak menghormati institusi beraja.

"Sebagai rakyat berbilang kaum di negara ini adalah penting untuk kita saling hormat-menghormati dan terus berpegang kepada Rukun Negara," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sebelum ini dalam satu status Facebooknya, Desmond Yongkor didakwa bertindak biadab dengan memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, Khamis lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima tiga laporan yang dibuat individu berkenaan hari ini.

"Kita sudah menerima laporan dibuat tiga individu berkenaan dan merakamkan percakapan mereka sebelum merujuk laporan kertas siasatan awal yang dibuka di Pahang," tambah beliau. - UTUSAN ONLINE