RAZAK MD. SAID

Suspek utama yang merupakan teman lelaki kepada ibu tunggal berusia 39 tahun itu serta dua yang lain dikatakan masih bersembunyi di Johor dan beberapa negeri lain.

Ketua Polis daerah Kulai, Superintenden Razak Md. Said berkata, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk tindakan lanjut.

“Kami turut memaklumkan perkara ini kepada beberapa agensi kerajaan lain bagi me­mastikan ketiga-tiga lelaki Bangladesh berusia 30-an itu tidak boleh keluar dari negara ini sama ada menerusi jalan sah atau haram.

“Suspek mempunyai permit kerja sah dan kami bukan saja mengenal pasti identiti mereka, malah tempat persembunyi­an terkini mereka. Kami yakin mereka akan ditahan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini hari ini.

Terdahulu, wanita yang melacurkan dua anaknya berusia 10 dan 13 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara 75 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas suspek mengaku bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan.

Ibu tunggal itu tergamak melacurkan dua anaknya itu kepada dua warga asing di sebuah hotel bajet di Larkin Perdana dengan bayaran RM50 sejak Oktober lalu.