Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, ketiga-tiga suspek berusia 30-an itu dipercayai masih berada dalam negara ini tetapi sudah keluar dari negeri ini.

“Meskipun belum berjaya menahan ketiga-tiga suspek utama itu, namun kita telah mengenal pasti identiti suspek menerusi pasport mereka.

“Kita telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk menahan suspek dan kita percaya akan menahan ketiga-tiga suspek utama itu dalam masa terdekat,” katanya pada prapelancaran Hari Keluarga Ceria Bersama PDRMcare di ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini sebentar tadi.

Pada 25 Oktober lalu, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun kerana disyaki melacurkan dua anak perempuannya itu kepada tiga lelaki asing di sebuah hotel bajet di bandar raya ini.

Setakat ini, polis menahan tujuh lelaki warga Bangladesh berusia 28 hingga 42 tahun dan seorang lelaki tempatan yang juga majikan warga asing berkenaan berusia 48 tahun bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE