Fong Kui Lun
Fong Kui Lun

Malah Kui Lun turut berkata, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat dan pengetahuan tentang tindakan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bukit Bintang, Mohd. Noorhisyam Abdul Karim melakukan kutipan wang tersebut.

“Saya juga tidak pernah memberi persetujuan terhadap tindakan sebegitu (mengutip wang untuk tapak bazar),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di hadapan Ibu pejabat Polis Daerag Dang Wangi selepas membuat laporan polis, hari ini.

Kui Lun juga menjelaskan, pihaknya juga sudah berhubung dengan Mohd. Noorhisyam dan dia turut menafikan aktiviti pengutipan duit daripada peniaga-peniaga tersebut.

Sebelum ini, Mohd. Noorhisyam dituduh mengutip wang sehingga RM5,000 daripada peniaga bazar di Jalan Masjid India setelah didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan 80 lot bazar dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Surat dari DBKL kepada Mohd. Noorhisyam menunjukkan bahawa 80 lot telah diluluskan selama sembilan hari dengan bayaran hanya RM6,238.

Turut terseret dalam skandal tersebut adalah Kui Lun kerana beliau menulis surat kepada DBKL yang menyokong permohonan Mohd. Noorhisyam untuk menyewa lot terbabit. - UTUSAN ONLINE