Kubur Allahyarham Mohamad Thaqif Amin digali bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil kedua-dua belah kakinya untuk tujuan bedah siasat.

Datuk kepada Mohamad Thaqif Amin iaitu Ahmad Motai, 67, berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa anggota tubuh tersebut akan ditanam semula selepas tiga hari.

Katanya, keluarganya dimaklumkan kedua-dua kaki Allahyarham akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru bagi membolehkan bedah siasat diteruskan.

“Kerja menggali kubur dijalankan empat penggali kubur yang merupakan penduduk tempatan sambil disaksikan ahli keluarga, pegawai polis dan majistret.

“Anggota forensik polis kemudian mengambil bahagian kaki Mohamad Thaqif sebelum ditutup dengan kain. Tubuh jenazah tidak kelihatan kerana ditutup dengan papan," katanya ketika ditemui

Ahmad turut memberitahu, dia menerima panggilan telefon memaklumkan perkara tersebut kira-kira pukul 1 petang semalam sebelum kerja menggali kubur dilakukan tidak lama kemudian.

Insiden membabitkan Mohamad Thaqif Amin sebelum ini menjadi tular dalam media sosial apabila kanak-kanak tersebut dimasukkan ke hospital didakwa berpunca akibat dipukul pembantu warden tahfiz berkenaan.

Pada 23 April lalu, kedua-dua belah kaki Allahyarham terpaksa dipotong setelah anggota badan berkenaan dijangkiti kuman dan mengalami darah beku.

Mohamad Thaqif Amin kemudian menghembuskan nafas terakhir pada 26 April lalu pada pukul 2.05 petang ketika dirawat di Wad Dependensi Tinggi HSA.

Ibu Mohamad Thaqif Amin, Felda Wani, 40, memberitahu, keadaan kaki anaknya itu kelihatan dalam keadaan baik dan sempurna ketika dibawa keluar dari liang lahad oleh pihak polis.

“Ketika dibawa naik, anggota itu kelihatan masih elok dan tiada sebarang bau kurang menyenangkan yang dihidu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ashmond Bajah mengesahkan proses berkenaan dan memberitahu tujuan dilakukan adalah bagi membantu pihak berkuasa meneruskan siasatan membabitkan kes tersebut.