Lelaki berpangkat Datuk berusia 60 tahun itu dilihat keluar dari pejabat SPRM di sini kira-kira pukul 3 petang dengan menaiki kereta Perdana berwarna hitam. Beliau sebelum itu tiba di sini pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut sumber, beliau juga telah memberi keterangan kepada SPRM semalam selama dua jam bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari berhubung kes tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk selepas direman empat hari bagi membantu siasatan kes kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Turut dibebaskan, seorang wanita iaitu ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta yang direman empat hari sebelum ini bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Majistret Atikah Abu Hassan membebaskan mereka dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Selasa lalu, SPRM menahan bekas pengerusi agensi kerajaan berusia 64 tahun dan CEO wanita berusia 32 tahun itu selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat Putrajaya.

Pengerusi agensi kerajaan itu disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi, mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020 dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan.