Dua kapal itu ialah Aliya Sari dan Saujana Tiga dan Maritim Malaysia turut merampas kira-kira 
50,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM130,000.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, semasa 
kapal ronda Maritim Malaysia membuat rondaan Ops Pagar Laut dan Ops Iman di sekitar perairan 
Kemaman pukul 10.10 pagi telah mengesan dua buah kapal yang saling berhimpit dalam keadaan mencurigakan.
 
Jelasnya, setelah kapal ronda Maritim Malaysia menghampiri dan membuat pemeriksaan ke atas 
kapal terbabit mendapati mereka sedang melakukan pemindahan minyak secara `ship to ship' 
(STS) tanpa sebarang kebenaran dan dokumen yang sah.
 
Beliau bagaimanapun menjelaskan, hasil pemeriksaan mendapati kesemua enam kru kapal Aliya 
Sari dan 19 orang kru kapal Saujana Tiga berusia  22 hingga 56 tahun itu memiliki dokumen 
pengenalan diri yang sah.
 
"Kedua-dua kapal tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Teluk Kalong untuk 
siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang jika sabit kesalahan, pemilik 
kapal itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau 
kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
 
Rashidilhadi berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan menjelang 
cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini bagi memastikan perairan Terengganu selamat daripada 
aktiviti perlanggaran undang-undang.

Tambahnya, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau 
Zon Maritim Kemaman, 09-8582825. - UTUSAN ONLINE