Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNKK Sarawak, Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata, serbuan diketuai beliau bersama 14 anggota dan dibantu dua pegawai dari Bahagian Audit Dalaman KPDNKK Putrajaya itu dilakukan pada pukul 3.30 petang.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa premis itu mengaut keuntungan menggunakan minyak masak bersubsidi yang sepatutnya untuk kegunaan isi rumah untuk menjalankan perniagaan.

"Bertindak atas maklumat, kita telah melakukan intipan selama seminggu sebelum membuat serbuan hari ini.

"Hasil pemeriksaan, menemukan enam kotak mengandungi 103 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM257.50 kerana setiap paket berharga RM2.50," katanya dalam kenyataan, di sini petang ini.

Sehubungan itu, Abdul Hafidz memberi amaran kepada para peniaga supaya tidak menggunakan minyak masak bersubsidi untuk berniaga kerana tindakan itu boleh menjejaskan bekalan minyak masak bersubsidi untuk kegunaan isi rumah.

Beliau berkata, KPDNKK akan menyiasat punca bekalan sama ada daripada pemborong atau peruncit yang bersekongkol membekalkan minyak masak bersubsidi kepada peniaga industri.

Tambahnya, 'Ops Goreng' akan terus giat dilaksanakan bagi menstabilkan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran untuk kegunaan isi rumah.

"KPDNKK meminta pengguna yang mempunyai maklumat berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi supaya memberi kerjasama dengan melaporkan maklumat melalui talian 1-800-886-800 atau membuat aduan di mana-mana pejabat cawangan KPDNKK di negeri ini.

"Individu melakukan kesalahan itu boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat denda maksimum RM3,000," katanya. - UTUSAN ONLINE