Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Sub­ramaniam berkata, perkara itu memandangkan pihaknya men­dapat maklumat kopi tersebut khususnya yang berperisa durian telah dibekalkan ejen-ejen tertentu untuk diagihkan kepada orang ramai.

Malah, beliau turut mengesahkan menerima laporan dua lagi menjadi mangsa diserang gejala seperti terkena sawan dan keletihan teruk selepas meminum kopi berperisa durian itu di negeri ini kelmarin.

“Sehubungan itu, kita mengge­sa orang ramai khususnya penduduk di negeri ini berhati-hati sekiranya menerima peket kopi yang dise­rah­kan individu tidak dikenali.

“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan masih menjalankan sia­satan dan analisis terhadap sampel-sampel kopi yang telah di­minum itu selain pihak polis turut menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Terapi Holistik di Georgetown di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian lima individu termasuk dua warga Nepal yang diserang gejala keletihan teruk sehingga tidak sedarkan diri selepas meminum kopi berperisa durian yang dipercayai dicampur dadah minggu lalu.

Dalam kejadian di Pulau Tikus di sini, warga Nepal yang juga pengawal keselamatan itu dikatakan menerima peket kopi berperisa durian tersebut daripada seorang wanita tidak dikenali.

Dalam pada itu, Dr. Subramaniam memberitahu, hasil siasatan awal di kilang yang memproses kopi itu bagaimanapun tidak me­nemukan sebarang bukti yang boleh mengaitkan pengeluar kopi terbabit dengan kes tersebut.

“Setakat ini, kita hanya mengesan kes kopi campuran durian ini di Pulau Pinang dan motif sebenar sindiket pengedaran kopi itu masih belum diketahui. Dalam hal ini, hanya polis yang mempunyai jawapan,” ujarnya.