Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dua lelaki itu ialah seorang warga Bangladesh yang menerima rawatan Khamis lalu manakala seorang lagi warga tempatan yang dimasukkan ke HPP kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori kepada sebuah syarikat perkhidmatan kutipan sampah di sini.

“Peket kopi itu dijumpai warga Bangladesh berkenaan ketika memungut sampah sebelum memberikannya kepada rakannya.

“Kita telah menghubungi majikan kepada pekerja ini dan mengarahkan mereka menyerahkan kopi yang diambil untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya sama ada kopi yang diminum mangsa terbaharu itu adalah sama dalam kejadian sebelum ini, Anuar berkata, kopi itu adalah daripada jenama sama namun berbeza perisa.

Sehingga kini, seramai tujuh orang menjadi mangsa diserang gejala seperti sawan dan keletihan teruk selepas mengambil kopi yang dipercayai dicampur dadah sejak seminggu lalu.

Kesemua mereka mendakwa mendapatkan kopi itu yang diedarkan secara percuma oleh individu tidak dikenali termasuk yang didermakan di tokong. – UTUSAN ONLINE