Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia 29 tahun yang bertugas di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Port Dickson dekat sini ditahan di rumahnya pada pukul 3.30 pagi.

“Kita juga sedang mengesan empat lagi rakan suspek dengan tiga daripadanya adalah bekas anggota tentera,” katanya di sini hari ini.

Muhamad Zaki berkata demikian sebagai mengulas kejadian itu yang tular di media sosial.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 3.15 petang Jumaat lalu itu, kesemua mangsa yang baru tiba di stesen kereta api Seremban dibawa menaiki sebuah van oleh seorang lelaki berpakaian tentera untuk dihantar ke Pusasda Port Dickson.

Bagaimanapun, mereka dipercayai diugut supaya menyerahkan wang dan telefon bimbit sebelum ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai di sini.

Muhamad Zaki berkata, kesemua mangsa membuat laporan di Balai Polis Port Dickson pada hari kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE