Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap Shafudin Sulong, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan bapa anak satu itu menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh sabitan, iaitu hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap doktor berusia 32 tahun di Bilik 1, Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Ampang, jam 3.20 pagi pada 6 Januari lalu.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Shafudin yang tidak diwakili peguam itu memohon mahkamah memberikan hukuman denda atas alasan dia hanya menolak lengan mangsa sahaja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh serius.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh dan isterinya membawa anak lelaki mereka yang berusia lima tahun ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum mangsa yang juga doktor di hospital itu terdengar bunyi bising dari Bilik 1, Zon Hijau Jabatan Kecemasan.

Doktor wanita itu kemudian memasuki bilik itu dan melihat seorang jururawat sedang mengambil darah anak tertuduh, namun, lelaki yang tidak berpuas hati dengan proses pengambilan darah itu bertindak memarahi dan mengugut untuk menampar jururawat berkenaan.

Mangsa kemudian menenangkan tertuduh, namun tertuduh semakin marah dan wanita itu pula diugut akan ditampar sebelum lelaki itu diarahkan keluar dari bilik berkenaan.

Tertuduh kemudian bertindak menampar lengan doktor itu hingga mengakibatkan kesan merah dan kesakitan di lengan kirinya. - UTUSAN ONLINE