Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, suspek mendakwa hadir ke pejabat Ahli Parlimen Kepong itu bagi membuat aduan kononnya dia diugut pihak polis serta dipaksa membayar RM15,000 bagi menutup kes berkaitan dirinya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, lelaki itu kini direman dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kita turut merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 19 gram. Hasil saringan mendapati suspek positif dadah berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media melaporkan seorang lelaki hadir di pejabat Ahli Parlimen Kepong bagi membuat aduan kononnya dia diugut oleh pihak polis dan terpaksa membayar sebanyak RM15,000 bagi menutup kes berkaitan dirinya.

Lelaki itu mendakwa laporan polis sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil, sebelum membawa keluar satu peket dadah dan meletakkannya di atas meja.

Sangsi dengan tindakan lelaki itu, laporan polis dibuat dan dia ditahan sejam kemudian.

Ketika ditahan, lelaki berkenaan juga tidak menyedari kehadiran pihak polis, sebaliknya hanya menangis apabila tangannya digari dan dipercayai di bawah pengaruh dadah.- UTUSAN ONLINE