Taktik tersebut digunakan oleh majikan sebagai contoh pengilang, mereka memohon sehingga 500 pekerja dengan alasan bagi memenuhi permintaan tenaga di kilangnya sedangkan keperluan sebenarnya tidak sampai pun seratus orang.

Maka sekiranya permohonan 500 pekerja diluluskan, pekerja yang tidak diperlukan akan ‘dijual’ kepada orang lain.

Bayangkan jika seorang ejen mampu membawa masuk 1,000 warga asing bekerja di negara ini maka ejen tersebut mampu menjana keuntungan sehingga RM5 juta ringgit untuk sekali kemasukan dengan kadar bayaran RM5,000 untuk satu kepala.

Secara tidak langsung senario berkenaan yang menjadi antara faktor penyumbang punca isu lambakan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di­lihat bagai tiada kesudahannya.

Perkara itu diakui Ketua Pe­ngarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang turut memaklumkan, sememangnya setiap permit dikeluarkan mengikut kadar permintaan dibuat oleh majikan, namun ada antara permintaan dibuat sesetengah pihak itu tidak masuk akal.

Malah, ada sesebuah syarikat meminta untuk membawa masuk sehingga 30,000 pekerja asing dalam satu masa.

“Bagaimanapun apabila di siasat ada antara mereka sebenarnya tidak memerlukan pekerja seramai itu tetapi bertujuan untuk mengagihkan mereka ke beberapa individu atau majikan lain untuk dijadikan sebagai pekerja dan sebagainya.

“Ia secara terang-terangan telah melanggar undang-undang sedia ada dan dianggap sebagai satu konsep pemerdagangan manusia secara besar-besaran kerana cuba memperdaya pihak berkuasa untuk mendapatkan kebenaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Modus operandi agensi tersebut melibatkan pelbagai sektor utama iaitu pertanian, perladangan, perkilangan, perkhidmatan, pembinaan dan juga pendidikan yang membolehkan warga asing dibawa masuk untuk pelbagai tujuan.

Pada ketika ini, seramai 1.727 juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini dalam pelbagai sektor dan paling ramai adalah warga Indonesia di­ikuti Nepal dan Bangladesh.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan turut mendapati ramai antara mereka cuba mengaburi mata penguat kuasa de­ngan menggunakan pusat bahasa atau kolej swasta untuk membawa masuk warga asing 2,000 hingga 5,000 orang.

“Perkara ini terbongkar apabila pegawai memeriksa premis pusat bahasa dan pendidikan itu hanya mempunyai beberapa kerusi dan meja pengajar serta terletak di deretan rumah kedai yang tidak memungkinkan jumlah pelajar begitu ramai.

“Imbuhan besar ini membuatkan ramai ejen menjadi ‘kreatif’ dalam memanipulasi undang-undang untuk membolehkan mereka mengaut keuntungan besar dengan me­lakukan perkara seperti itu,” katanya.