Dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, pegawai dan anggota PPM Wilayah 5 Sarikei bersama pihak SFC melakukan serbuan berkenaan.

Menurut Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, serbuan tersebut mendapati aktiviti memproses kayu menjadi papan lapis dipercayai secara haram.

“Seorang warga Indonesia dipercayai pekerja ditahan dan laporan polis dibuat ke atas pekerja, barangan dan jentera.

“Kita merampas dua buah jengkaut, sebuah mesin memproses papan lapis, papan lapis, kayu balik pelbagai saiz, generator dan kayu bergergaji disamping tiga ekor burung murai dengan nilai rampasan berjumlah RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes itu diserahkan kepada pihak Perhutanan Sarikei untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Ordinan perhutanan 2015.

“Bagi tiga ekor burung murai batu diserahkan kepada SFC Kuching untuk perlindungan,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan,  Salehuddin berkata, seorang warga Indonesia yang gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan Permit kerja telah ditahan pada pukul 10.10 pagi di kawasan sama semalam.

“Laporan polis dibuat dan lelaki itu diserahkan kepada Balai Polis Jakar untuk tindakan lanjut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE