Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau percaya kumpulan terlibat juga adalah dalang di sebalik dalam beberapa siri penculikan sebelum ini di perairan Sabah.

“Namun setakat ini belum ada tuntutan wang tebusan daripada mana-mana pihak,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang dalam lawatan kerja tiga hari ke negara ini sebelum itu menerima kunjungan hormat Menteri Perindustrian Negeri Telengana, K.T. Rama Rao dan Setiausaha Agung Parti BJP, Ram Madhav.

Kapal tunda tersebut ditemukan sekumpulan nelayan pada pukul 3 petang semalam yang segera mela­porkannya kepada pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom).

Ahmad Zahid berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd. Rashid Harun tentang kejadian tersebut.

Menurutnya, bot tunda itu ditemui tanpa kru dan enjin yang masih hidup sekali gus menimbulkan kemungkinan kesemua lima pekerja bot berkenaan telah diculik.

“Kumpulan KFR menjadikan jenayah culik di perairan Sabah sebagai urus niaga mereka,” katanya.

Ditanya tentang ugutan bunuh yang diterima oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar dan Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, beliau berkata, pihak polis tidak akan gentar dan mengurangkan komitmen memerangi keganasan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ugutan itu bukan gimik dan tidak sewajarnya dipandang mudah.

Sehubungan itu beliau memin­ta semua pihak bersama dengan pihak berkuasa dalam berhadapan ancaman kumpulan militan Daesh. – UTUSAN