Turut ditahan dalam operasi khas yang bermula pukul 11 pagi itu ialah beberapa ahli geng berkenaan yang mendiami rumah-rumah sewa sekitar Senawang.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, ke­tua geng itu yang dikenali sebagai Martinus Bouk Tefa atau ‘Panjang’ mempunyai tatu penuh di badan dengan lukisan sarang labah-labah, kepala harimau, tengkorak, naga dan logo seakan ‘Black Angel’.

“Kumpulan haram warga asing itu dikenali sebagai ‘Armos Moro Seneng’ dianggotai ahli berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Mereka mempunyai keahlian yang ramai menggunakan slogan ‘Hidup Mati Moro Seneng’ pada kad keahliannya yang mana turut tertera perkataan ‘Black Angel’,” kata Faizal Fazri kepada Utusan Malaysia di Senawang, dekat sini hari ini.

Menurut Faizal Fazri, Martinus yang berasal dari Flores, Indonesia berusia lingkungan 40-an ditahan bersama beberapa lagi individu yang berada dalam rumah itu.

Katanya, turut dirampas ialah beberapa baju T tertulis ‘Armos Moro Seneng’, tali pinggang dengan kepala besi bersaiz besar dan tajam, serta beberapa kad keahlian kumpulan itu.

“Kumpulan itu bergerak aktif di beberapa taman perumahan sekitar Senawang dan mempunyai ahli di cawangan seperti Kuala Pilah, Gemas, di Jalan Pantai (Seremban), Labu dan Nilai.

“Dalam operasi memburu ahli kumpulan itu hari ini, anggota GTK Imigresen dibantu Unit Tindakan Imigresen menemukan beberapa senjata tajam, kad keahlian yang turut memaparkan wajah ahli lelaki dan wanita, beberapa helai baju T dan jaket tertera perkataan ‘Armos Moro Seneng’,” ujarnya.

Kata Faizal Fazri, turut ditemui ialah dua buku tertera nama ahli kumpulan berkenaan dengan setiap seorang dikenakan bayaran RM10 sebagai yuran bulanan.

“Pasukan GTK Imgresen merampas senjata tajam seperti sabit yang ditemui dalam salah sebuah rumah yang diserbu di Senawang.

“Tiga rumah yang menempatkan ahli kumpulan dan sebuah kilang di mana mereka bekerja telah diperiksa. Kesemua ahli kumpulan yang diperiksa telah ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas dengan penyer­taan dalam pertubuhan haram,” tegas beliau.

Dalam pemeriksaan di tiga buah rumah di Senawang itu, telah ditemui sebuah buku dengan bilangan keahlian tercatat seramai 76 orang, manakala sebuah lagi buku menempatkan pecahan keahlian seperti Kuala Pilah (10), Senawang (9), Gemas (7), Jalan Pantai (3), Labu (9) dan Nilai (7).

Turut ditemui beberapa botol minuman keras dalam salah sebuah rumah yang diserbu.

“Kumpulan itu mengadakan pertemuan sosial dan kegiatan mereka telah dipantau bahagian keselamatan selepas pendedahan kumpulan Sakera Madura baru-baru ini.

“Kita khuatir kumpulan itu akan menjadi ganas andai berlaku selisih faham antara kumpulan lain atau penduduk tempatan berikutan penemuan senjata tajam dalam rumah yang diserbu.

“Imigresen akan terus memburu saki baki ahli kumpulan ‘Armos Moro Seneng’ itu. Kita tidak berkompromi dalam soal keselamatan,” tegas Faizal Fazri.

Kata Faizal Fazri, kesemua lelaki yang ditahan itu dibawa ke pejabat Imigresen untuk disoal siasat dan akan dirujuk kepada pihak polis sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng.