Ketua Polis negeri, Datuk Maz­lan Mansor berkata, kebanyakan mangsa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk suri rumah dan bekas pensyarah mudah berasa panik dan percaya apabila menerima panggilan dari- pada suspek yang menyamar sebagai anggota polis atau Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut beliau, pada tahun ini sahaja iaitu sehingga Jun lalu, sebanyak 329 kes dilaporkan de­ngan kerugian lebih RM16.6 juta berbanding 268 kes diterima me­libatkan kerugian RM6.6 juta bagi tempoh yang sama.

“Jumlah yang diterima ini mencatatkan peningkatan kerugian sehingga 149 peratus, manakala bagi peratus kes pula meningkat sebanyak 122 peratus.

“Oleh demikian, kita menasihatkan supaya masyarakat jangan mudah panik dan terpedaya jika menerima panggilan daripada in­dividu yang tidak dikenali. Jika khuatir, segera tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat pengesahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ditemui di Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu jelas Mazlan, suspek Macau Scam biasanya memilih mangsa secara rawak dan menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai polis, pegawai kastam atau BNM.

“Apabila melihat jumlah kes melibatkan penyamaran sebagai anggota polis meningkat seba­nyak 106 peratus iaitu daripada 132 kes kepada 273 kes.

“Berbanding dengan penipuan melibatkan kad kredit mencatat penurunan sebanyak 58.8 peratus iaitu 136 pada tahun lalu kepada 56 kes tahun ini,” ujarnya.