Saksi kesembilan, R. Narresh, 30, yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam memberitahu, ketika rusuhan berlaku, dia ternampak Muhammad Adib tersandar di sebuah kereta sambil dikelilingi orang awam yang tidak membantu tetapi mengambil gambar sahaja.

Katanya, dia telah meminta orang awam supaya memberi ruang kepada Muhammad Adib bagi membolehkannya bernafas sebelum berlari mencari kenderaan untuk menghantar anggota bomba itu ke hospital tetapi gagal kerana tiada sesiapa yang membantu.

“Pada masa itu, saya terus berpatah balik kepada Muhammad Adib dan ternampak dia tidak lagi berbaju kerana baju celoreng dan bajut T yang dipakainya telah ditanggalkan.

“Saya meminta orang di sekeliling membantu mengangkatnya sebelum berlari dan pada masa itu ternampak sebuah Mitsubishi Storm sedang berundur lalu menahannya dan meminta menghantar Muhammad Adib ke hospital berhampiran.

“Saya dan beberapa orang awam telah mengangkat Muhammad Adib di bahagian belakang (bucket) kenderaan tersebut sebelum memeriksa keadaannya. Pada masa ini, saya ternampak ada lebam serta berwarna merah di rusuk kanannya berikutan kulitnya yang putih.

“Ketika saya dekatkan muka di badannya, ternampak pasir serta kesan kotoran tapak kasut pada rusuk kanannya bersaiz sejengkal. Saya telah mengelapnya dan kemudian terus berkomunikasi dengannya walaupun dia tidak sedarkan diri,” katanya.

Narresh berkata demikian di hadapan Koroner Rodiah Mohamas ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah selaku Pegawai Pengendali pada prosiding inkues yang memasuki hari keenam hari ini.

Pada prosiding hari ini juga, saksi berkenaan telah mengenal pasti Muhammad Adib sebagai lelaki yang dibantunya itu.

Menceritakan lanjut, Narresh berkata, ketika berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu, dia telah memegang barangan peribadi Muhammag Adib termasuk telefon bimbitnya.

Jelasnya, pada masa ini, dia telah terdengar terdapat beberapa panggilan masuk daripada telefon bimbit Muhammad Adib tetapi hanya mengangkatnya pada panggilan ketiga.

“Saya telah menjawab panggilan tertera nama PB Azrul dan memberitahu kepadanya Muhammad Adib cedera, tolong datang ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). Selang beberapa minit dalam pukul 1.30 lebih pagi, ada pesanan mesej masuk daripada tunang anggota bomba ini yang bertanyakan “B di mana.. Buat apa?.

“Tetapi saya terus menutup telefon bimbit kerana khuatir ia tercicir dan terus bercakap de­ngan Muhammad Adib supaya terus kuat dan hendak sampai di hospital,” ujarnya.