Mohd. Said Ibrahim

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kes melibatkan peniaga warung makanan itu disiasat secara adil dan jika dalam perbicaraan dia dapat buktikan bahawa dia benar-benar mempertahankan diri maka dia akan dilepaskan.

“Tuduhan kononnya pihak polis cuba melindungi dua lelaki berke­naan, disebabkan latar belakang keluarga mereka yang berpengaruh adalah tidak berasas sama sekali.

“Tidak semestinya Zulkifli ditahan reman dan dituduh di mah­kamah bermakna dia sudah ber­salah, ini adalah prosedur undang-undang,” katanya ketika me­ngulas kritikan dan kecaman dilemparkan dalam laman sosial.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mentok, hari ini.

Turut sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengetua SMK Bukit Mentok, Mustafa Abdul Ghani, Asisten Superintenden Amran Mat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Nar­kotik, Asisten Superintenden Hamzah Awang Dollah.

Dalam kejadian pada 7 Disember lalu, media melaporkan dua lelaki tersebut dipercayai cu­ba mencuri di rumah Zulkifli sebelum terjadinya pergelutan dan seorang daripada mati akibat ditetak.

Menurut Mohd. Said, lelaki yang melarikan diri itu yang berjaya ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu turut disiasat dan turut dituduh bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana positif dadah jenis ‘methamphetamine’.

Katanya, kes itu disiasat secara menyeluruh dengan profesional untuk mengelakkan timbulnya sebarang isu berbangkit.

“Tindakan menahan reman Zulkifli di Penjara Marang yang dipersoalkan ‘keyboard warrior’ juga adalah sebahagian proses undang-undang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau meminta mereka tidak menokok tambah cerita sebenar dan menggembar-gemburkannya cerita yang tidak betul dalam keghairahan meluahkan rasa simpati terhadap Zulkifli.