Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, siasatan kes tersebut telah dilakukan oleh Ketua Polis Balai Beranang dan di klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ujarnya, siasatan terbabit dilakukan sebaik sahaja laporan polis dibuat oleh ibu kepada bayi berkenaan kira-kira pukul 1.30 hari.

"Berikutan kejadian itu, bedah siasat telah dilakukan oleh doktor di Hospital Kajang, Selangor dan mengesahkan sebab-sebab kematian adalah tidak diketahui.

"Sehubungan itu, kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Julai lalu sebelum kertas siasatan itu dirujuk ke pejabat koroner untuk diadakan inkues bagi mengetahui punca kematian sebenar," katanya, di sini hari ini.

Hari ini, seorang pemilik Facebook dikenali sebagai Shahida Shaari mendakwa anaknya yang maut pada Mac lalu ketika dalam jagaan pengasuh.

Berdasarkan catatan dalam laman Facebook miliknya itu, wanita itu mendakwa pengasuh terbabit telah mengakui kesalahannya itu namun tiada siasatan polis dilakukan memandangkan dia mempunyai saudara sebagai anggota polis. - UTUSAN ONLINE