NIK ROS AZHAN NIK AB. HAMID
NIK ROS AZHAN NIK AB. HAMID

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek berketurunan Cina itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam di sekitar kawasan Tanjung Tokong.

“Perintah reman terhadap suspek juga telah diperolehi di Mahkamah Majistret iaitu selama enam hari sehingga 1 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai jurujual telefon bimbit dilaporkan ce­dera di lengan kanan, paha dan bahu kanan selepas ditembak oleh suspek yang memakai topeng ski dan menaiki sebuah kereta.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 22 tahun itu selesai makan di medan selera berhampiran sebelum memandu kereta jenis Honda Accord untuk pulang ke rumahnya di Machang Bubok.

Sementara itu, Nik Ros Azhan memberitahu, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Doktor bagaimanapun masih belum mengeluarkan peluru dari tempat kecederaan mangsa ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Ros Azhan berkata, lima saksi dan rakan mangsa serta pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dilanggar dalam insiden itu telah dirakam percakapan mereka setakat ini.

Tambahnya, motif tembakan bagaimanapun masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE