Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, ke­semua suspek berusia 21 hingga 40 tahun yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap yang sama dan masing-masing mempunyai rekod jenayah.

“Kesemua sembilan suspek ini sudah dikenal pasti mempunyai peranan dalam kes tersebut dan kita percaya mereka masih berada dalam negara.

“Kita mengeluarkan gambar dan identiti kesemua sembilan lelaki yang dikehendaki dan ada kaitan dengan pembunuhan kejam ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

 

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa Tan Aik Chai, 44, yang menaiki kereta Volkswagen Polo berwarna putih bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dikatakan isterinya singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kereta.

Sebuah kereta BMW dinaiki empat lelaki kemudian tiba di lokasi berkenaan, suspek terbabit cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan dan berlaku pergelutan sebelum Aik Chai ditikam di bahagian dada.

Mangsa berjaya meloloskan diri namun suspek bertindak melanggarnya sebelum mengundurkan kereta dan menggilisnya hingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd. Khalil berkata, motif kejadian adalah berkaitan dadah dan dua suspek yang ditahan reman selama 14 hari sebelum ini akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok setelah mendapat arahan pertuduhan Jabatan Peguam Negara.

“Esok dua lelaki berusia 19 dan 23 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sembilan suspek utama yang masih diburu boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.