Menurut sumber, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan dituduh buat kali kedua membabitkan kes sama.

“Beliau perlu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi esok untuk pendakwaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dilihat masuk ke pejabat SPRM pada pukul 1.40 petang dengan menaiki kereta Proton Perdana berwarna hitam dan dilihat keluar pada lebih dua jam kemudian.

Kata sumber sama lagi, Rosmah hari ini dipanggil hadir ke SPRM untuk melengkapkan siasatan berkaitan dengan kes penyelewengan pemasangan panel solar itu.

Pada November tahun lalu, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta

dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi

Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Walau bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau

RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kontroversi projek tenaga solar berkenaan tercetus ekoran pendedahan sebuah portal berita yang mendakwa Najib menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Projek pemasangan panel tenaga solar itu disiasat SPRM berikutan pelaksanaan projek berkenaan tidak melalui tender terbuka Kementerian Pendidikan sebaliknya diberikan secara terus kepada sebuah syarikat sewaan kereta di Bintulu. - UTUSAN ONLINE