Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, sambungan reman kedua ke atas lelaki warga Nigeria tersebut dibenarkan selama tujuh hari bermula esok.

"Permohonan lanjutan reman itu dibuat di Mahkamah Sepang pada pukul 10.30 pagi tadi selepas tempoh reman sebelum ini tamat hari ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan reman terhadap dua lagi suspek iaitu wanita Nigeria dan lelaki Pakistan juga telah disambung selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 Mei depan.

Siti Kharina dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu dengan dia kali terakhir menghubungi suami serta anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada hari sama.

Berikutan penemuan mayat wanita itu, polis menahan tiga individu disyaki terlibat dengan kes itu. - UTUSAN ONLINE