Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, hasil siasatan terhadap suspek utama kes berkenaan mendapati pisau digunakan untuk menikam mangsa dipercayai dibuang di laluan ke Desaru, Kota Tinggi.

“Polis sedang mengenal pasti kawasan suspek membuang pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa dalam kejadian berkenaan iaitu dalam perjalanan ke Desaru.

“Kita akan lakukan siasatan rapi dan dalam tempoh terdekat ini akan kemukakan hasil dan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Johor yang baharu, Senior Asisten Komisioner, Kamaluddin Kasim di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa yang menaiki kereta Volkswagen Polo berwarna putih bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang mendakwa isterinya singgah di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kereta.

Kemudian datang sebuah kereta BMW dinaiki empat suspek berkenaan cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta berkenaan sebelum berlaku pergelutan sebelum ditikam di bahagian dada.

Mangsa berjaya meloloskan diri dan suspek kemudian bertindak melanggarnya sebelum mengundurkan kereta dan menggilisnya hingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. - UTUSAN ONLINE